Ucapan Pengerusi

YB Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam bin Hj. Ibrahim

PENGERUSI
LEMBAGA KEMAJUAN IKAN MALAYSIA

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera & Salam 1 Malaysia.

Alhamdulillah, segala puji dipanjatkan kepada Allah SWT di atas limpah dan kurniaNya, kita telah melangkah ke tahun baru 2016 dengan penuh keberkatan dan rahmat. Saya merasakan telah banyak perubahan bahkan transformasi yang telah dilakukan oleh pihak Pengurusan LKIM sepanjang tahun 2015. Fokus utama adalah menjayakan agenda Jihad Memerangi Orang Tengah (JMOT) di Sub-Sektor Perikanan selari dengan matlamat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA Inc).

Sesungguhnya, sektor perikanan adalah Pemangkin kepada pembangunan Negara. Justeru itu, LKIM telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif berdasarkan misi, visi dan objektifnya dalam merealisasikan hasrat berkenaan. Agenda JMOT merupakan usaha terbesar MOA dalam membela nasib golongan nelayan khasnya di mana semua pengguna boleh mendapat bekalan ikan yang segar dengan harga yang munasabah.

Bagi mencapai hasrat tersebut, saya menyeru agar semua pihak terutama LKIM serta kumpulan sasaran berganding bahu dalam menjayakan agenda tersebut agar sektor perikanan berdaya saing setaraf dengan negara maju di peringkat antarabangsa.

Saya yakin laman sesawang ini adalah medium penggerak yang cepat, tepat dan mudah di dalam penyebaran maklumat kepada kumpulan sasar disamping usaha yang telah serta sedang dilakukan oleh pihak LKIM. Sesungguhnya, suatu hari lonjakan global akan berlaku di dalam sektor perikanan Negara.

Adalah menjadi harapan saya agar laman ini menjadi salah satu rujukan dan wadah dalam penyebaran maklumat serta informasi berkaitan program-program LKIM kepada pihak-pihak berkaitan dan mereka yang berminat ke arah memacu pembangunan Industri Perikanan Negara.

Sekian. Selamat Maju Jaya.

YB Dato’ Sri Dr. Hj. Irmohizam bin Hj. Ibrahim