Ucapan Ketua Pengarah

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Pertama sekali saya mengucapkan ucapan terima kasih kerana melayari laman web rasmi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)

Laman web rasmi LKIM ini merupakan medium perhubungan yang penting untuk organisasi menyampaikan berita sebarang dan informasi dengan tepat dan pantas kepada masyarakat umum.

Di kesempatan ini saya mengucapkan ucapan tahniah kepada YB Dato’ Haji Salahudin Bin Ayub di atas perlantikan beliau sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mulai pada 18 Mei 2018. Ucapan tahniah juga dirakamkan kepada YB Sim Tze Tzin di atas perlantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Saya juga ingin memanjatkan rasa kesyukuran saya ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin-Nya dapat saya menitipkan kata-kata permulaan sebagai Ketua Pengarah LKIM berkuatkuasa pada 24 Julai 2018. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui tampuk pimpinan LKIM.

Seperti yang umum mengetahui, peranan LKIM sangat penting dalam menggalak dan memajukan pengurusan yang cekap dan berkesan mengenai perusahaan dalam pemasaran ikan. Sehubungan dengan itu, LKIM berperanan untuk meningkatkan permintaan dalam pemasaran ikan negara. LKIM juga bertanggungjawab dalam mengukuhkan peranan Persatuan Nelayan (PN) termasuk sebuah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK). Sehingga kini terdapat 13 buah PNN dan 89 buah PNK yang terdapat di seluruh Malaysia yang membantu untuk menggalak, menggiat, memudah dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial golongan sasar termasuk nelayan dan pengusaha hasil perikanan.

Selain daripada itu, saya berhasrat untuk meningkatkan kompetensi modal insan dalam diri seluruh warga kerja LKIM bagi memastikan peranan LKIM sentiasa memberi perhatian serius dalam usaha membangunkan sektor perikanan. Saya juga mengalu-alukan sebarang inisiatif untuk melaksanakan transformasi sektor perikanan terutamanya melibatkan perubahan minda nelayan ke arah pembangunan perikanan yang mapan dan berterusan. Di masa yang sama, usaha-usaha untuk menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang perikanan akan dipergiatkan.

Daripada program yang dilaksanakan dan bilangan penerima manfaatnya, jelas menunjukkan bahawa keutamaan LKIM adalah untuk membantu masyarakat nelayan meningkatkan taraf hidup dan menerima faedah secara langsung. Ini bertujuan merealisasikan hasrat Kementerian bagi menjadikan sektor perikanan sebagai salah satu penyumbang penting kepada ekonomi negara. LKIM akan terus memainkan peranan secara bersepadu dan seiring bagi menggerakkan pelbagai aktiviti perikanan secara berterusan dan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang telah disediakan.

Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga LKIM di atas komitmen yang diberikan sepanjang penubuhan LKIM dan syabas kepada masyarakat nelayan yang telah terlibat dalam pelbagai program yang dilaksanakan oleh LKIM. Saya berharap mereka akan terus berusaha meningkatkan produktiviti pada masa yang akan datang selain mengekalkan kerjasama dan terus berusaha ke arah yang lebih baik untuk kesejahteraan bersama.

 

Sekian.

(JAMALUDIN BIN OTHMAN)