Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan (Beshn)


Definasi

Bayaran elaun sara hidup bulanan pada kadar RM200.00/bulan kepada pemilik individu vesel perikanan dan pekerja warganegara yang bekerja diatas vesel berlesen.


Objektif

Objektif utama skim bayaran bulanan sara hidup nelayan, adalah antara usaha-usaha kerajaan untuk membantu golongan nelayan meringankan bebanan menghadapi tekanan ekonomi disebabkan kenaikan harga bahan bakar secara global disamping ianya merupakan insentif kepada sektor industri perikanan supaya kekal berdaya maju


Kategori Pemohon

Nelayan yang layak dipertimbangkan untuk menerima bayaran elaun sara hidup bulanan ini adalah terdiri daripada dua (2) kategori berikut:

a. Pemilik vesel perikanan atau lesen menangkap ikan yang didaftarkan atas nama individu, dan

b. Pekerja atas vesel perikanan berlesen bertaraf warganegara Malaysia.


Syarat Kelayakan

Syarat kelayakan untuk menerima bayaran elaun sara hidup
bulanan ini adalah seperti berikut :
   
a. Pemilik vesel perikanan atau lesen menangkap ikan yang didaftarkan atas nama individu.

  • Memiliki MyKad (Biru) dan Kad Nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia; dan
  • Memiliki lesen vesel perikanan yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, atau
  • Memilik lesen vesel perikanan yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Laut Sabah atau Lembaga Pelabuhan dan Dermaga Negeri Sabah serta Lesen Menangkap Ikan dari Jabatan Perikanan Sabah,  dan

b. Pekerja Atas Vesel Perikanan Warganegara Malaysia.

  • Memiliki MyKad (Biru); dan
  • Memiliki Kad Nelayan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia; dan
  • Didaftarkan sebagai pekerja vesel oleh pemilik vesel individu dan syarikat; dan


Sekatan Kelayakan.
 
Sekatan kelayakan permohonan dikenakan terhadap individu-
indvidu berikut:

  1. Pemegang lesen vesel perikanan atau perkakas menangkap ikan yang didaftarkan atas nama syarikat.
     
  2. Pekerja vesel perikanan rakyat asing yang bekerja diatas vesel perikanan berdaftar adalah tidak layak menerima bayaran dibawah skim ini.
     
  3. Pemegang lesen individu yang mempunyai pekerjaan tetap lain atau tanpa alasan yang munasabah tidak mengusahakan sendiri vesel berkenaan adalah tidak layak menerima bayaran elaun sara hidup bulanan ini.
     
  4. Pemegang lesen vesel tuna C3 dan pekerja diatas vesel tersebut adalah tidak layak memohon dan menerima bayaran dibawah skim ini.
     
  5. Pemohon dibawah umur 18 tahun pada 1hb Jun 2008 adalah tidak layak menerima bayaran dibawah skim ini.

 
Pengecualian Sekatan Kelayakan
 
Peserta program Transformasi Nelayan anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dimana pemegang lesen vesel perikanan atau perkakas menangkap ikan yang  didaftarkan atas nama syarikat adalah terkecuali daripada sekatan kelayakan di para 5.3.1 dan adalah layak untuk memohon dan menerima bayaran dibawah skim ini.



Pendaftaran Permohonan Pemilik Dan Pekerja Vesel

Pemilik vesel individu dan pekerja warganegara diwajibkan
mendaftar dengan LKIM menggunakan borang pendaftaran yang ditetapkan sah dalam tempoh satu tahun dengan menyertakan salinan dokumen berikut:

  1. Salinan MyKad pemilik vesel dan pekerja.
  2. Salinan lesen vesel dan perkakasan yang masih sah berkuatkuasa.
  3. Borang daftar pekerja vesel yang  disahkan oleh pemilik. 
  4. Salinan Kad Nelayan pemilik dan pekerja vesel yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan masih sah berkuatkuasa.Salinan buku akaun simpanan.
  5. Gambar pemohon.
  6. Lain-lain dokumen sokongan (jika perlu)


Tempat Pendaftaran

Permohonan boleh dikemukakan kepada pejabat Persatuan Nelayan  Kawasan, Pejabat LKIM Wilayah atau Pejabat LKIM Negeri, yang mana  terdekat.


Kaedah Pembayaran

Pembayaran elaun sara hidup bulanan kepada nelayan yang layak adalah melalui akaun bank seperti berikut :
 
a. Agrobank.
b. CIMB
c. Malayan Banking Berhad.
d. Bank Simpanan Nasional

Pembayaran akan dibuat melalui Pusat Tanggung Jawab (PTJ) di Pejabat LKIM Negeri.


Kadar Bayaran

Kadar bayaran elaun sara hidup bulanan adalah sebanyak RM200.00 bagi setiap nelayan yang layak.